Solehin,
Dua puluh satu sekadar saksi pusingan mentari engkau lengkapkan
Tahun kedua dalam kancah dewasa, masih bertatih mengenali dunia
Masih buta antara bayang dan cahaya, masih tuli rentak bayu tenggara
Masakan ia layak menjadi pengukur sesuatu yang belum tiba?
Namun aku reti, di kala rembulan menerangi kelam malam
Engkau juga mempersoal akan tiap jalan yang menjadi pilihan
Merangka hala tuju yang engkau sendiri kabur akan arahnya
Kadang berselit kesal bersulam amarah, ingin sahaja menggertak waktu
Menuding jari ke masa lalu, menyalahkannya atas nasib yang dilalu
Ingin meluah segala kekusutan yang mendesak dada
Telah bertekad mencari yang sudi menadah telinga
Namun, sesuatu menjerut suara daripada menyingkap luka
Menghalang bicara, mendiamkan jiwa yang hampir tidak bernyawa
Dan di situ lah aku melihat kehebatan engkau tertanam
Tidak sempurna, namun berani menghadapi realiti nista
Masih memilih menjadi manusia bertatahkan sanubari mulia
Membawa cahaya, menerangi bayang yang membungkam
Membentuk satu ruang hidup yang telah lama aku hilang
Beban dunia tidak akan pernah menghilang, sekadar berkurang
Hanya kerana mahu menjadi kebanggaan para insan
Tidak bermakna engkau harus menduga antariksa dan isinya
Cukup sekadar memaafkan diri, menerima apa yang telah pergi
Sedang masa hadapan ini masih tegar menanti
Untuk engkau menulis lembar baharu hikayat hidup
Yang mana watak utamanya engkau, beridentitikan engkau
Semestinya, jalan cerita sempurna itu kita harapkan
Namun apa guna andai ia berwangkan bahagia jiwa?
Kata akhir daripada aku
Selamat hari lahir, buat engkau, sang pemberi makna hidup
Semoga hari-hari mendatang dapat ditempuh seperti yang diimpikan
Kekal lah menerangi dunia dengan pesona yang meneduhkan jiwa
Memperlihatkan kepada mereka bahawa masih ada baik berpayungkan alam
Kekal lah menjadi engkau, tanpa perlu memaksa sempurna dalam bicara
Menjadi manusia dicintai, dihargai, dan dikagumi lebih daripada dakwat tinta
— Yang Ikhlas, Batrisyia Amani