Solehin,

Dua puluh satu sekadar saksi pusingan mentari engkau lengkapkan

Tahun kedua dalam kancah dewasa, masih bertatih mengenali dunia

Masih buta antara bayang dan cahaya, masih tuli rentak bayu tenggara

Masakan ia layak menjadi pengukur sesuatu yang belum tiba?

 

Aku belum arif dalam menafsir jiwa hanya dengan mata, tanpa kisah

Namun aku cukup sedar

Di sebalik lelah menjadi yang pertama, ada derita yang engkau sembunyi

Di sebalik beban menjadi harapan utama, ada usaha yang tidak berjulang

Di sebalik sadung yang menjatuhkan, ada bangkit yang engkau rahsiakan

Dengan pandangan serba terbatas, tetap aku lihat retak yang disimpan kemas

Apabila engkau bercerita, walau tidak pernah bermaksud untuk mendalami

Walau bagaimana mekar senyum engkau tawar menenangkan sukma

Aku reti tiap satu perkara yang tidak terungkap daripada liang bibir

Barangkali gusar ia bertumpahkan tangis tatkala engkau memaksa tabah

 

Walau dalam kepincangan, engkau masih berani dalam realiti nista

Masih memilih menjadi manusia bertatahkan sanubari mulia

Membawa cahaya, menerangi bayang yang membungkam

Membentuk satu ruang hidup yang telah lama aku hilang

 

Mungkin aku tidak pernah menuturkan akan hal ini

Alang telapak telah ternoda dakwat, maka biarlah ia terus tumpah

Terima kasih menjadi asbab aku kekal meneruskan apa yang telah dimulakan

Terima kasih menjadi ilham, menaungi tiap susunan bait aku coretkan

Sejujurnya, dahulu aku menolak membuka kotak suara, enggan merangkai madah

Namun entah dari mana datangnya lapang itu tatkala engkau mengajak bicara

Daripada sebesar-besar perkara hinggalah sekecil-kecil senda

Tidak pernah aku sesal akan waktu yang terhampar bersama

 

Sejak mengenali engkau, barangkali ada yang harus telinga itu tadah

Beban dunia tidak akan pernah menghilang, sekadar berkurang

Hanya kerana mahu menjadi kebanggaan segenap insan

Tidak bermakna engkau harus menduga antariksa dan isinya

Cukup sekadar memaafkan diri, menerima apa yang telah pergi

Sedang masa hadapan ini masih tegar menanti untuk diperbaiki

Semestinya, realiti sempurna itu yang kita harapkan

Namun apa guna andai ia berwangkan waras jiwa?

 

Kata akhir daripada aku

Selamat hari lahir, buat engkau, sang pemberi makna hidup

Kekal lah menerangi alam dengan pesona yang meneduhkan jiwa

Memperlihatkan kepada mereka bahawa masih ada insaniah berlangitkan dunia

Kekal lah menjadi engkau, tanpa perlu memaksa sempurna dalam bicara

Menjadi manusia dicintai, dihargai, dan dikagumi lebih daripada dakwat tinta

Semoga hari-hari mendatang dapat ditempuh seperti yang diimpikan

Andai sebaliknya yang menerpa, engkau tidak perlu berdegil berpura kuat

Aku sedia menghulur bahu, menjadi tempat bersandar menghilangkan penat

Di kala itu, sedia mendengar keluhan rasa, selagi cukup deria yang lima

— Yang Ikhlas, Batrisyia Amani

click to open the envelope